Cubaan seludup keluar petrol gagal, lori tersangkut di laluan berlumpur
Lori yang bermuatan petrol untuk diseludup ke Filipina tersangkut di laluan berlumpur di ladang kelapa sawit berdekatan pantai Kampung Bakarat. Gambar kredit MyJointForce |
Komander ATB 2 Brig Jen Abdul Karim Ahmad berkata penahanan lima lelaki tempatan dan seorang warga Filipina berusia 23 hingga 54 tahun itu dilakukan selepas lapan anggota tentera serta dua polis yang melakukan rondaan Op Pasir Sektor Delta menemukan tiga lori tangki minyak dalam keadaan mencurigakan pada 11.30 pagi.
Lori yang bermuatan petrol untuk diseludup ke Filipina tersangkut di laluan berlumpur di ladang kelapa sawit berdekatan pantai Kampung Bakarat. Gambar kredit MyJointForce |
"Semua lori itu tersangkut di laluan berlumpur di ladang kelapa sawit berdekatan pantai Kampung Bakarat dan mencurigakan kerana menggunakan laluan lain untuk membawa barang kawalan terbabit selain anggota bertugas juga menyedari kehadiran kapal tongkang yang berlabuh tidak jauh dari lokasi itu.
"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan kesemua suspek yang gagal mengemukakan permit atau kebenaran untuk membawa barang kawalan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Karim berkata keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM1.15 juta merangkumi 60,000 liter minyak petrol bernilai RM624,000, tiga lori tangki minyak bernilai RM400,000 serta sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux bernilai RM128,000.
Lima lelaki tempatan dan seorang warga Filipina berusia 23 hingga 54 tahun ditahan semasa rondaan Op Pasir Sektor Delta. Gambar kredit MyJointForce |
Beliau berkata berdasarkan keterangan awal suspek dan siasatan Pusat Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mendapati tiada jadual ulang bekal minyak petrol di Pos Merabung sekali gus mengesyaki berlaku cubaan menyeludup minyak petrol ke kapal tongkang di pantai Lahad Datu.
"Berikutan itu Pasukan Polis Marin diatur gerak ke lokasi kapal tongkang berlabuh namun kapal berkenaan didapati sudah tiada di lokasi tersebut," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Abdul Karim berkata pelaksanaan Op Pasir dan Op Benteng Bersama di bawah ATB 2 secara berterusan dapat menjamin keselamatan perairan Pantai Timur Sabah di tahap terbaik.
Menurutnya ATB 2 akan sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan operasi selain tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan, penyeludupan serta ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara.
-- BERNAMA