Beritahu saya jika projek tidak patuhi spesifikasi, Uggah
Uggah semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Balai Ringin dan Lubok Antu di sini hari ini. Gambar kredit Fb Bukit Saban Access |
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemimpin terutamanya pada akar umbi seharusnya menjadi mata, suara dan telinga kerajaan.
Beliau berkata mana-mana projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar, Projek Kecil Luar Bandar ataupun daripada kerajaan pusat, mesti memenuhi spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR).
“(Projek seperti) pembinaan jambatan, jalan raya dan lain-lain yang diluluskan untuk dilaksanakan, ia perlu memenuhi spesifikasi JKR dari seri penggunaan bahan, kualiti, kuantiti, saiz atau panjang dan lain-lain.
“Semua ini dijelaskan dalam Jadual Bahan kepada kontraktor. Jadi, isu sama ada ia disiapkan tidak mengikuti spesifikasi tidak sepatutnya timbul,” katanya.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata adalah suatu yang menyedihkan jika sesuatu projek itu tidak disiapkan dengan betul, walaupun peruntukan telah pun diberikan untuknya.
“Projek-projek itu sepatutnya untuk dimanfaatkan oleh rakyat. Ia tidak sepatutnya menjadi punca perdebatan dan rasa tidak puas hati antara mereka dan kerajaan,” katanya.
-- BERNAMA