Bapa maut, anak melecur kebakaran rumah teres
Rumah teres yang terbakar hingga menyebabkan seorang penghuninya meninggal dunia di Kampung Padang Perdana, Jalan Sungai Lembing, di Kuantan, Pahang malam tadi. Gambar kredit JBPM Pahang |
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa Mohd Asri Idris, 39, yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditemukan dalam keadaan melecur di dalam bilik air di dapur rumah tersebut.
"Siasatan awal dengan anak sulung mangsa memaklumkan ayahnya ada membaiki dapur gas kira-kira setengah jam sebelum kebakaran berlaku selepas ibunya mengadu berlaku kerosakan pada peralatan itu," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Rumah teres yang terbakar hingga menyebabkan seorang penghuninya meninggal dunia di Kampung Padang Perdana, Jalan Sungai Lembing, di Kuantan, Pahang malam tadi. Gambar kredit JBPM Pahang |
Wan Mohd Zahari berkata kebakaran juga menyebabkan anak mangsa Muhammad Aqid Aisy, 8, melecur di muka, tangan dan kaki kerana difahamkan dia tidur di sebuah bilik sebelum berjaya diselamatkan oleh jiran.
Isteri mangsa dan tiga lagi anak berusia antara empat dan 13 tahun tidak mengalami kecederaan.
Wan Mohd Zahari berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata 24 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Indera Mahkota dan Kuantan terlibat dalam operasi memadam kebakaran yang memusnahkan 50 peratus rumah tersebut.
-- BERNAMA