Bapa, anak maut dipercayai terkena renjatan elektrik

Gambar hiasan

KUANTAN— Dua beranak keturunan Orang Asli maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik semasa menangkap ikan menggunakan peralatan diperbuat daripada bateri kereta di Temerloh, semalam. 

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa yang juga seorang bapa berusia 45 tahun dan anak lelakinya berumur 16 tahun ditemukan pada 3.40 petang dalam keadaan terbaring di tepi sungai di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Krau oleh sekumpulan penduduk kampung. 

"Kumpulan penduduk tersebut difahamkan mencari mangsa yang berasal dari Kampung Paya Sendayan kerana mereka dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada Sabtu. 

"Siasatan awal dengan individu yang menjumpai mangsa mendakwa mereka terjumpa sebuah bateri kereta dan wayar serta peralatan menangkap ikan berdekatan mangsa," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Ramli berkata rumah mangsa dan lokasi mereka dijumpai adalah berdekatan dan boleh diakses dengan berjalan kaki.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk bedah siasat. 

Ramli juga menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya atau modifikasi yang boleh merisikokan diri. 

-- BERNAMA 
Next Post Previous Post