Atasi segera isu air, elektrik dan Internet di Lawas- Baru Bian


LAWAS-- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'kelalan Baru Bian menggesa kerajaan Sarawak menangani segera isu bekalan air, elektrik dan Internet yang membelenggu penduduk di sini sejak sekian lama.

Memetik laporan The Borneo Post, Baru ketika ditemui di pejabatnya semalam berkata, isu bekalan air masih menjadi keluhan penduduk di Lawas meskipun Loji Rawatan Air Trusan telah siap.

"Jika diimbau kembali, kerajaan negeri membina satu loji di Trusan. Dikatakan apabila loji itu siap, tiada lagi masalah air di Lawas.

"Ia telah disiapkan beberapa tahun lalu, namun masalah air masih menjadi masalah besar (di Lawas)," katanya.

Mengenai bekalan elektrik pula, Baru berkata gangguan kerap berlaku di Lawas iaitu secara purata tiga kali seminggu.

Jelasnya, ketika menghadiri program berbuka puasa bersama masyarakat Islam di Kampung Pangi pada malam Ahad, bekalan elektrik terputus dari kira-kira jam 7.30 malam hingga kira-kira 10 malam.

“Gangguan bekalan elektrik ini telah berlaku selama bertahun-tahun. Kalau hujan, pasti terputus (bekalan elektrik).

"Apakah rancangan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah ini? Apakah punca (yang menyebabkan bekalan elektrik ini terputus)?” soalnya.

Bagi isu Internet pula, Baru berkata, sebahagian kawasan di Lawas mempunyai liputan Internet yang baik tetapi sebahagiannya pula tidak mempunyai sebarang liputan perkhidmatan telekomunikasi terutamanya di pedalaman.

"Liputan di bandar Lawas sangat teruk dan dua tahun lepas, saya bersimpati kepada pelajar yang terpaksa menghadiri kelas dalam talian,” katanya sambil menambah kerajaan negeri mesti menyelesaikan isu ini dengan segera.
Next Post Previous Post