Anwar sedia berdebat dengan Najib isu Sapura

Anwar Ibrahim. Gambar kredit Anwar Ibrahim Twitter

KUALA LUMPUR—Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia untuk berdepan dan berdebat demi negara dan rakyat pada bila-bila masa dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya ambil maklum lontaran cabaran debat daripada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak," kata Anwar menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata sikapnya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun lepas kerana beliau pernah melontarkan cabaran yang sama kepada Najib tetapi tidak bersahut.

"Beliau (Najib) kini memilih mencabar saya di awal bulan Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut ‘bail-out’ Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan para peniaga kecil yang tidak terbela," kata Anwar.

Semalam, dilaporkan Najib menyahut cabaran debat bekas Ahli Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli tetapi ia juga perlu disertai Anwar.

Rafizi sebelum ini, mencabar Najib berdebat mengenai isu syarikat Sapura Energy Bhd (SEB).

-- BERNAMA
Next Post Previous Post