Anak tidak mengaku sengaja bakar rumah ibu, anggap satu kemalangan
Gambar Suara Sarawak |
Memetik laporan Suara Sarawak, tertuduh, Azirul Shamsul Tahir, 28, telah mengemukakan rayuan yang menyatakan kebakaran rumah ibunya, 73, tersebut merupakan satu kemalangan.
Berikutan itu, Hakim Mahkamah Sesyen Kuching, Maris Agan menolak pengakuan tertuduh tersebut hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, Azirul sengaja melakukan khianat dengan membakar rumah milik ibunya, kira-kira jam 8.30 malam, 29 Mac lalu.
Tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam sebutan kes, tertuduh memberitahu semasa hari kejadian, dia sedang mengemas rumah dengan memotong dan membakar rumput di rumah terbabit.
Jelasnya, tujuan dia melakukan pembersihan tersebut adalah untuk membawa ibunya tinggal bersama selepas dia mendapat pekerjaan sebagai pembantu dapur di sebuah restoran berdekatan rumah ibunya.
Bagaimanapun, dia kemudian tiba-tiba melihat api telah merebak masuk ke rumahnya dan mengaku kejadian itu adalah satu kemalangan.
Menurut laporan media sebelum ini, ketika kejadian tertuduh sedang merokok sambil membakar sampah di tepi rumah hingga menyebabkan api marak lalu membakar dinding rumah berkenaan.
Malah, tertuduh dikatakan hanya berdiam diri dan tiada niat untuk memadamkan kebakaran sehinggalah penduduk kampung datang.
Selain itu, ibu tertuduh juga memaklumkan pernah mendapat ugutan daripada anaknya untuk membakar rumahnya sebelum kejadian.
Pada masa sama, tertuduh juga terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah serta dimasukkan ke pusat pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Disebabkan insiden kebakaran itu, ibu tertuduh mengalami kerugian yang dianggarkan kira-kira RM500,000.
Ekoran itu, ibu tertuduh membuat laporan polis untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Sementara itu, mahkamah telah menetapkan sebutan semula bagi pengurusan kes pada 15 Mei depan.
Hakim Maris juga membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin tunai RM5,000 beserta seorang penjamin tempatan.
Pendakwaaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Md Syafique Md manakala tertuduh tidak diwakili peguam.