Anak mendiang Damian dan Ronwina Mambai terima pembayaran pencen penakat PERKESO
Mereka, Elisa Olivia Damian, 10, Joseph Rayyan Damian, 8, dan Magdalena Damian, 2, kini dijaga bapa saudara yang merupakan abang kepada mendiang Ronwina, Robert Adi, 43 tahun.
Robert dan isterinya Kelly Jhon, 36 tahun diamanahkan untuk menjadi penjaga sementara kepada tiga kanak-kanak tersebut sementara menunggu perintah daripada mahkamah mengenai hak penjagaan kanak-kanak berkenaan.
Memetik laporan Utusan Borneo, Pengarah PERKESO Sarawak Philip Sangkan ditemani Pegawai Tadbir Kanan Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO Sabri Wahab dan Pengurus PERKESO Cawangan Serian Mohd Shukery Hasan menyerahkan pembayaran itu di kediaman Robert Adi, 43, di Taman Samarindah Baru, Fasa 7, di sini hari ini.
Jelasnya, pembayaran Pencen Penakat itu akan dibuat melalui Robert selaku penjaga kepada ketiga-tiga anak mendiang.
"Pencen ini dibayar secara bulanan yang mana pembayaran pertama dibuat hari ini (1 April) untuk anak-anak ini yang kita bayar kepada penjaga mereka sehingga mencecah umur 21 tahun atau dipanjangkan hingga mereka ini tamat pengajian di peringkat institut pengajian tinggi," katanya.
Tambah Philip, PERKESO sangat tersentuh dengan kes sebegini yang diuruskan dengan segera bagi memastikan kebajikan anak-anak terbabit tidak terabai.
"PERKESO berharap penjaga dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dalam memberikan apa yang telah menjadi hak kepada anak-anak ini," katanya.
Selain itu, beliau memberitahu PERKESO juga sedang berusaha untuk menjadikan ketiga-tiga anak mendiang sebagai anak angkat PERKESO.
Namun, jelasnya, ia masih dalam perbincangan di peringkat tertinggi pengurusan sebelum diputuskan.
Bagaimanapun tegasnya, pihaknya mengesyorkan ketiga-tiga kanak-kanak tersebut menjadi anak angkat PERKESO.
Sebelum ini PERKESO memaklumkan waris kepada mendiang Damian Senin, 46, dan isterinya Ronwina Manbai, 35, telah menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar.
Pada masa yang sama PERKESO memberitahu bahawa pihaknya juga akan menyalurkan Pencen Penakat sebanyak RM1,376.00 yang dibayar setiap bulan sehingga mereka mencecah usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.