Ahli keluarga Meriammah rayu bantuan bawa pulang jenazah arwah


BINTANGOR — Ahli keluarga kepada seorang wanita Sarawak, Meriammah Abdullah Basam, 29, yang mayatnya ditemukan dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus, pada 20 Mac lepas merayu bantuan pihak berwajib untuk membawa pulang jenazah arwah ke negeri ini.

Ipar kepada arwah Meriammah, Nadia Zaini, 32, berkata keluarga Allahyarhamah terutamanya ibu bapa arwah amat berharap jenazah anak mereka dapat diuruskan dan dikebumikan di Bintangor, Sarawak.

 
"Pada 10 akhir bulan Ramadan ini, kami sekeluarga terutama ibu arwah, Selihah Arip yang berusia 59 tahun dan bapa arwah, Basam Jahan yang berumur 70 tahun memohon semua mendoakan arwah Maryam dan dipermudahkan segala urusan arwah di sana (Semenanjung).

"Jenazah arwah masih berada Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan amat menjadi harapan kami sekeluarga khasnya ibu bapa arwah untuk melihat jenazah arwah diuruskan dan dibawa pulang ke Sarawak untuk urusan pengebumian," katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.

Jelas Nadia, kali terakhir keluarga melihat arwah adalah pada 2019.

"Lepas dari itu, kami langsung tidak bertemu arwah. Lebih-lebih lagi anak-anak arwah, Anis, 6 tahun dan Aiman 8 tahun.

"Oleh itu, amat besar harapan kami sekeluarga untuk melihat jenazah arwah buat kali terakhir sebelum dia dikebumikan," ujarnya.

Dalam pada itu, Nadia memberitahu, keputusan ujian DNA sudah dikeluarkan iaitu 100 peratus padanan dengan waris arwah iaitu abang arwah.

Katanya, abang arwah kini masih berada di Semenanjung untuk menguruskan jenazah arwah.

"Andai tidak berjaya membawa jenazah arwah pulang ke Sarawak, tiada apa yang boleh kami lakukan tetapi kesian bila mengenangkan ibu bapa serta anak-anak arwah yang sudah lama tidak melihat arwah.

"Kami berharap Rumah Sarawak dapat membantu untuk membawa pulang jenazah arwah ke Sarawak.

"Jika tidak dapat, kami berharap Rumah Sarawak atau pihak berkaitan dapat membantu membawa waris arwah terutama ibu bapa dan anak-anak arwah ke Semenanjung untuk melihat kali terakhir arwah sebelum dikebumikan di sana," kata Nadia lagi.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Khalid Redza Shuib, 41, didakwa atas pertuduhan membunuh Meriammah Abdullah Basam, 29, di lokasi sama antara 15 Mac hingga 17 Mac lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Mahkamah menetapkan 17 Mei sebagai tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes itu.

Di Mahkamah Majistret berasingan, Khalid Redza yang juga seorang peniaga bersama anak perempuannya, Nurshafwani Khalid Redza, 18, didakwa secara bersama menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan, 5, di sebuah rumah di Jalan Temiang, Taman Nee Yan, di sini, kira-kira pukul 7 malam pada 3 Mac lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Selain itu, Khalid Redza turut mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, di lokasi sama antara 1 Disember 2021 hingga 23 Mac lepas, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara hingga tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Namun, peguam pemerhati, Datuk Haniff Hassan yang mewakili keluarga Siti Syarifah memohon kepada mahkamah untuk menetapkan satu tarikh bagi membolehkan kenyataan impak mangsa dikemukakan terlebih dahulu sebelum hukuman dijatuhkan ke atas tertuduh.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 27 April sebagai tarikh sebutan semula untuk tujuan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashim.

Di Mahkamah Sesyen, bapa kepada dua anak itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan sengaja mendatangkan cedera parah dengan menyimbah air panas terhadap Siti Syarifah hingga melecur di lokasi dan tarikh yang sama serta mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan di lokasi sama antara 1 Disember 2020 hingga 23 Mac lepas.

Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama 20 tahun dan denda atau sebat serta Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abu Hassan dan Hakim Rushan Lutfi Mohamed menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan semula selain tiada jaminan ditetapkan bagi kesemua lima pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Terdahulu, Khalid Redza bersama anak perempuan dan abangnya berusia 44 tahun ditahan selepas terkait dengan penemuan mayat seorang wanita dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus, pada 20 Mac lepas disusuli penemuan cebisan rangka kanak-kanak perempuan dalam belukar di Taman Bukit Zamrud, pada 7 April lepas serta terbaru kes penderaan wanita dan anak lelakinya.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof memaklumkan, tiada tindakan pendakwaan dikenakan terhadap abang lelaki itu dan dia dibebaskan dengan bon jaminan mahkamah.
Next Post Previous Post