Agong, Raja Permaisuri jalani kuarantin kendiri setelah positif Covid-19
Agong, Raja Permaisuri berkenan jalani kuarantin kendiri di Istana Negara setelah disahkan positif COVID-19. Gambar kredit FB Istana Negara |
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata Al-Sultan Abdullah akan menjalani kuarantin kendiri hingga Khamis (7 April) manakala Tunku Azizah hingga Jumaat (8 April).
Beliau berkata Seri Paduka berdua berkenan menjalani kuarantin kendiri selaras dengan protokol dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi kes positif COVID-19 yang mengalami gejala ringan atau tidak bergejala.
“Adalah dimaklumkan Seri Paduka Baginda berdua hanya mengalami gejala ringan. Kesihatan Seri Paduka Baginda berdua secara amnya adalah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan,” katanya.
Ahmad Fadil berkata bersempena ketibaan bulan Ramadan, Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan kawalan kendiri meskipun negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik, semalam.
Seluruh rakyat turut diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka berdua dikurniakan kesembuhan dengan segera serta keafiatan yang berpanjangan.
-- BERNAMA