374,400 batang rokok bernilai RM280,800 dirampas
Rokok seludup yang dirampas anggota Pasukan Gerakan Am di Jalan Sungai Maong bernilai RM280,800. Gambar PGA |
Jurucakap PGA dalam kenyataan berkata, seorang suspek lelaki berusia 24 tahun turut ditangkap dalam serbuan yang dijalankan sekitar jam 12.45 tengah hari tadi di rumah tersebut.
Bertindak atas maklumat dan risikan, sebelas Pegawai Polis Cawangan Risik Batalion 11 PGA membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah rumah yang disyaki dijadikan stor penyimpanan rokok seludup.
Suspek yang merupakan pekerja dan penjaga stor ditahan bagi membantu siasatan. Gambar PGA |
"Dalam serbuan ini suspek mengaku sebagai pekerja dan penjaga stor tersebut. Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah rokok seludup yang disembunyikan di ruang bilik dalam rumah tersebut.
"Hasil pemeriksaan lanjut suspek tidak dapat menyatakan sebarang dokumen yang sah pemilikan ke atas sejumlah barangan iaitu rokok putih pelbagai jenis tanpa cukai," katanya.
Rokok seludup yang dirampas anggota Pasukan Gerakan Am di Jalan Sungai Maong bernilai RM280,800. Gambar PGA |
Siasatan awal suspek mendedahkan rumah tersebut dijadikan stor tempat simpanan rokok untuk dijual di sekitar kawasan berhampiran.
Tambahnya, tangkapan dan rampasan dibuat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
“Tangkapan dan rampasan kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes masih dalam siasatan.