3 tokoh dicanang bakal PM, bila PRU15?


KUALA LUMPUR-- Tiga tokoh besar dalam arena politik negara daripada tiga gabungan parti dicanang sebagai calon Perdana Menteri (PM).

Ini sekaligus menandakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah dekat dan mungkin akan diadakan bila-bila masa sahaja.

Memetik laporan Sinar Harian, tiga nama itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon PM ke-10 bagi Barisan Nasional (BN), Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) turut mengumumkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon PM.

Ketiga-tiga mereka sememangya memiliki pengaruh dan kekuatan masing-masing yang dilihat boleh membantu parti mereka untuk menang dalam PRU15 nanti.

Bagaimanapun, populariti Ismail Sabri ketika ini tidak dapat disangkal, lebih-lebih lagi apabila kerajaan telah membenarkan pengeluaran khas RM10,000 dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara 'one-off' yang disambut baik rakyat terutamanya pencarum di negara ini.

Malah, mereka amat menghargai keprihatinan kerajaan pimpinan Ahli Parlimen Bera itu terhadap rakyat yang dalam kesempitan selepas dua tahun dilanda pandemik COVID-19.

Yang pastinya, wang itu sememangnya amat diperlukan untuk kelangsungan hidup serta sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Pada masa yang sama Syawal kali ini rakyat tidak lagi terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas dua tahun tidak dapat pulang beraya di kampung halaman.

Sementara itu, Muhyiddin atau lebih popular dengan gelaran 'Abah' juga tidak dapat dinafikan kerana walaupun menjadi PM paling singkat dalam sejarah negara iaitu cuma 17 bulan, beliau cukup disenangi rakyat.

Ini kerana media pada April tahun lalu melaporkan hasil tinjauan yang dijalankan firma kajian pendapat, Merdeka Centre mendapati sokongan rakyat kepada Muhyiddin kekal tinggi ekoran beliau disifatkan pemimpin yang membela nasib serta keperluan mereka secara berterusan.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dipetik berkata, sebanyak 67 peratus hasil kajian diperoleh Muhyiddin itu, membuktikan majoriti rakyat sayang kepada pemimpin seperti beliau.

Manakala Anwar pula juga mempunyai kelebihan yang tidak dapat dinafikan kerana beliau sememangnya memiliki penyokong tegar dari dahulu sehingga sekarang.

Anwar semasa mengesahkan namanya masih calon tunggal PM sekiranya PH berjaya merampas pentadbiran negara pada PRU15 menegaskan bukan menjadi keutamaan kepada PH ketika ini untuk menamakan calon PM mewakili gabungan parti berkenaan.

Apa yang penting, kata Pengerusi PH itu, menyantuni dan membantu rakyat merupakan perkara utama yang perlu diberi perhatian.

Dengan ketiga-tiga nama calon PM yang ketika ini boleh dikatakan sudah lengkap, kehangatan PRU15 kian terasa dan hanya menunggu Parlimen dibubarkan.

Sudah pastinya harapan rakyat pada PRU15 adalah untuk menghentikan episod 'hitam' negara semasa berdepan pandemik COVID-19 yang ditambah buruk dengan krisis politik.

Keadaan ini pastinya akan mempengaruhi rakyat untuk memilih pemimpin dan parti yang benar-benar mampu membela nasib mereka.
Next Post Previous Post