18 jam berjalan kaki, guru besar bersama warga pendidik sanggup redah lumpur dan berhujan
Guru Besar SK Pangaraan Nabawan Jusseh Agitor berjalan kaki selama 18 jam untuk sampai ke sekolah. Gambar kredit FB Zazila Roslan |
Berkongi kisah sukar itu, Zazila Roslan menerusi hantaran Facebooknya berkata, ibunya Jusseh Agitor kini berusia 54 tahun bertugas sebagai guru besar di sekolah berkenaan.
"Saya teringat masa saya kecil dulu, kami akan bermalam di rumah orang kampung untuk berehat dan menumpang tidur daripada perjalanan yang panjang untuk sampai ke sekolah (tempat mak mengajar) kerana keadaan jalan raya yang tidak dapat dilalui oleh kenderaan.
"Saya tidak sangka, 27 tahun kemudian di mak saya dan cikgu-cikgu yang lain perlu menghadapi situasi ini semula.
"Mak saya yang hampir pencen, berjalan kaki untuk sampai ke sekolah selama 18 jam," katanya.
"Saya tidak sangka, 27 tahun kemudian di mak saya dan cikgu-cikgu yang lain perlu menghadapi situasi ini semula.
"Mak saya yang hampir pencen, berjalan kaki untuk sampai ke sekolah selama 18 jam," katanya.
Selepas 27 tahun, warga pendidik masih perlu berjalan kaki untuk sampai ke sekolah kerana jalan tidak dapat dilalui kenderaan. Gambar kredit FB Zazila Roslan |
Jelas Zazila, situasi ini berlaku pada 5 Mac lalu semasa cuti sekolah yang mana hujan lebat berlaku menyebabkan tiga jambatan utama putus dan tanah runtuh di beberapa tempat untuk sampai ke SK Pangaraan Nabawan.
Tambahnya, antara kawasan yang terjejas Kampung Pohon batu dan Kampung Pangaraan Nabawan.
"Bermula dari hari tersebut mak saya sudah tidak senang duduk. Semasa cuti sekolah setiap minggu dia akan cuba memantau jalan raya jika boleh dilalui.
"Walaupun mak dapat arahan dibolehkan bekerja di Pejabat Pendidikan sehingga jalan raya pulih, atau boleh dilalui namun mak saya tidak senang hati.
"Memikirkan keadaan pelajar-pelajar yang akan ketinggalan pelajaran. Selama ini dia memang berbakti mengajar di pedalaman selama 27 tahun," jelasnya.
Laluan yang terpaksa ditempuhi untuk sampai ke sekolah. Gambar kredit FB Zazila Roslan |
Berikutan itu, katanya, pada 6 April maknya mengambil keputusan untuk masuk ke sekolah dengan berjalan kaki.
"Saya ada bertanya dengannya mengapa tidak duduk saja di pejabat tetapi dia cakap hatinya tidak senang hati sekolah tidak dibuka dan pelajar akan ketinggalan," ujarnya.
Menceritakan cabaran semasa mengharungi jalan-jalan berlumpur dan berhujan, Zazila berkata, mereka juga harus menanti sungai untuk surut supaya boleh dilalui.
"Kami juga terpaksa berehat di kebun- kebun penduduk kampung untuk berbuka puasa.
Berbuka puasa di tengah perjalanan |
"Bukan guru-guru sahaja yang perlu menempuh jalan sebegini, malah orang kampung juga turut terkesan.
"Walaupun saya merasakan sedih dan marah. Saya akur dan faham dengan perjuangan dan tugasan pendidik- pendidik tanah air," tegasnya.
Oleh itu, dia memanggil rakan-rakan di dalam Facebooknya yang mempunyai kenalan dengan pihak berwajib atau berkuasa untuk membantu meringankan beban guru-guru dan juga orang kampung di Kampung Pangaraan.
Dia mencadangkan agar penghantaran guru mengunakan helikopter.
Perjalan yang penuh mencabar namun tidak mematahkan semangat untuk berbakti. Gambar kredit FB Zazila Roslan |
"Saya terbaca pihak yang berkaitan dan juga yang berwajib mengunakan perkhidmatan helikopter untuk ke tempat yang sukar untuk dilalui.
"Apa salahnya pada bulan puasa ini, sesiapa yang mempunyai perkhidmatan helikopter, menghantar guru-guru ini atau mengambil sekali sahaja sebelum cuti Raya Aidilfitri," katanya.
Tambahnya lagi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat atau agensi yang ingin membantu penduduk dan murid-murid dari segi bantuan makanan dan peralatan sekolah amatlah dialu-alukan.
Dedahnya, kebanyakan penduduk kampung ingin ke Keningau untuk mengambil Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan tetapi perjalanan yang mereka lalui dan juga tambang menyebabkan perjalanan mereka tidak berbaloi.
Justeru, katanya penduduk kampung berharap agar pembinaan jambatan di situ dipercepatkan.
Terpaksa meredah sungai kerana tiada jambatan. Gambar kredit FB Zazila Roslan |
"Setakat ini penduduk kampung telah menerima bantuan sekali sahaja, stok hampir habis kata mereka.
"Penduduk kampung juga amat berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana peka dengan situasi ini.
"Penduduk kampung boleh menghubungi Jabatan Kesihatan jika ada sebarang kecemasan dan pada 12 April ini pihak kesihatan juga akan datang untuk memberi rawatan kepada penduduk kampung," katanya.