12 rakyat diperdaya peluang pekerjaan di Kemboja selamat pulang
Gambar arkib |
Kejayaan membawa pulang 12 lelaki yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini kira-kira 8.10 pagi itu adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis Kemboja, Polis ASEAN (Aseanapol) dan Wisma Putra.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Amran Mohamed Zin berkata pihak berkuasa Kemboja telah menerima maklumat mengenai penglibatan 16 rakyat Malaysia dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang negara berkenaan dan menahan kesemua mereka pada 4 April lepas.
“Walaupun kerajaan Kemboja mendapati mereka (mangsa) melaksanakan aktiviti menyalahi undang-undang negara mereka, tindakan undang-undang pada masa ini diketepikan supaya kita dapat membawa balik rakyat kita yang terkandas di negara tersebut,” katanya kepada pemberita di klia2 hari ini.
Amran berkata pihak kedutaan Malaysia di Kemboja kini sedang memantau keadaan empat lagi mangsa iaitu tiga lelaki dan seorang wanita dan akan menguruskan kepulangan mereka sejurus disahkan negatif daripada COVID-19.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan sebelum ini dilapor berkata 16 rakyat Malaysia dipaksa bekerja sebagai 'scammer' oleh satu sindiket di Preah Sihanouk, Kemboja setelah terpedaya dengan iklan pekerjaan.
Menurutnya, mereka diperdaya melalui iklan di laman Facebook malah kos perbelanjaan perjalanan pekerjaan mereka turut ditanggung oleh pihak syarikat di Kemboja dan setelah mangsa tiba di Kemboja, dokumen perjalanan mangsa dirampas, pergerakan dikawal dan dikurung dengan kawalan ketat.
Amran dalam pada itu menasihatkan mana-mana pihak yang tertarik dengan tawaran peluang pekerjaan di luar negara supaya menyemak dahulu kesahihan pekerjaan berkenaan.
“Kalau ada kemusykilan, semak dengan kedutaan kita di luar negara iaitu di negara tuan rumah yang menawarkan pekerjaan tersebut,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili kesemua mangsa, Heng Zhi Li berkata mangsa telah pergi ke Kemboja secara berperingkat mulai September 2021 hingga Februari lepas.
Menurut Heng, mangsa dijanjikan gaji RM7,000 pada awalnya dan dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ namun tiada gaji dibayar kepada mereka selain turut dipukul, ditampar dan didera dengan kejutan elektrik.
Katanya mangsa mula menghubungi MCA untuk membuat aduan bermula Januari lepas dan hasil maklumat yang diterima diserahkan kepada Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang kemudiannya meminta Aseanapol dan Interpol untuk menyelamatkan mangsa.
-- BERNAMA