10 PATI mahu balik raya dicekup
Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Satu Divisyen dalam kenyataan berkata, 10 individu itu terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita merupakan warga Indonesia berusia sekitar 23 hingga 41 tahun dipercayai cuba pulang ke negara asal melalui jalan yang tidak sah.
"Kesemua mereka juga didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan pasport yang telah tamat tempoh," katanya.
Mengulas lanjut, katanya, tangkapan pertama pada jam 6 pagi tadi semasa anggota seksyen sedang melaksanakan rondaan telah terserempak dengan lima motosikal yang mencurigakan sedang melalui lorong tikus Ladang Kelapa Sawit, Kg Danau Malikin, Sektor Balai Ringin, iaitu sekitar 600 meter dari sempadan Malaysia Indonesia.
"Anggota bertindak menahan motosikal tersebut, walau bagaimanapun sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki dewasa telah berjaya meloloskan diri," tambahnya.
Tangkapan kedua pula pada jam 2.30 petang tadi yang mana anggota petugas Pos Pemerhati telah melihat empat individu sedang dalam perjalanan dari Malaysia ke Indonesia melalui jalan ladang kelapa sawit, Sektor Pos Biawak, sekitar 250 meter dari sempadan.
Sehubungan itu, tegasnya, kesemua PATI tersebut ditahan bersama empat motosikal, wang tunai berjumlah RM1,500, 12 telefon bimbit serta barangan peribadi termasuk sebungkus besar Milo turut dirampas dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Balai Polis Lundu untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"Tentera Darat terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan
negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko
menyumbang kepada penularan wabak COVID-19," ujarnya.