'Wayang' kedai runcit terbongkar, lelaki ditangkap jual loteri haram


BAU-- Tindakan seorang lelaki yang menjalankan aktiviti penjualan loteri awam secara haram dengan berselindung disebalik operasi kedai runcit terbongkar selepas ditangkap polis di sebuah kedai runcit Kupuok, Kampung Opar di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek berusia 35 tahun dari Kampung Grogo itu ditangkap sekitar jam 6.45 petang dalam Op Dadu yang dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.

"Semasa operasi ini, suspek sedang duduk di kaunter kedai tersebut, disyaki menjalankan aktiviti loteri awam haram.

"Hasil pemeriksaan tersebut telah menangkap dan membuat rampasan barang untuk dijadikan barang kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, antara barang dirampas sekeping kertas putih bertulis angka-angka disyaki loteri awam haram, sejumlah wang tunai , seunit telefon bimbit dan sekeping simkad.

Tambah Poge, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Tegasnya, suspek ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 4A (a)Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM 200,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun penjara," ujarnya.
Next Post Previous Post