Warga emas maut, motosikal berkuasa tinggi berlanggar MPV masuk simpang

Keadaan motosikal mangsa yang rosak teruk setelah berlanggar dengan MPV di simpang Samarax, Kilometer 11 Jalan Kota Samarahan-Mambong di sini semalam.

KOTA SAMARAHAN—Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di simpang Samarax, Kilometer 11 Jalan Kota Samarahan-Mambong di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Zain Abdullah @ Kueh Kiang Heng, 64, beralamat di Jalan Kampung Simpang Tiga, di Jalan Mendu, Kuching.

"Hasil siasatan awal, pada jam 2.35 petang semalam satu kemalangan jalan raya maut berlaku di Kilometer 11 Jalan Kota Samarahan-Mambong melibatkan dua kenderaan.

"Kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa bergerak lurus menggunakan lorong kiri jalan yang mempunyai dua lorong dari arah Batu 15, Padawan menuju ke arah Kota Samarahan telah berlanggar dengan sebuah MPV yang hendak masuk ke simpang di sebelah kanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Alexson, MPV terbabit datang dari arah Kota Samarahan menuju ke simpang Taman Samarax.

"Akibat kemalangan itu, MPV terbabit rosak di bahagian sisi hadapan kiri dan motosikal mangsa rosak di bahagian hadapan," katanya.

Berikutan pelanggaran itu, katanya, penunggang motosikal terbabit cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian disahkan oleh pihak ambulan yang tiba di situ.

Tegasnya, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post