Warga emas maut kereta dipandu terjunam dari jambatan

Gambar tangkap layar video orang awam

MELAKA—Seorang warga emas maut selepas kereta dipandunya terjunam dari jambatan Syed Abdul Aziz di Taman Kota Laksamana di sini, dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Supt Hasan Basri Yahya berkata mangsa, Tan Chin Chee, 76, cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang sedang menghala ke Melaka Raya hilang kawalan menyebabkan kereta Toyota Vios dipandunya terbabas ke laluan bertentangan sebelum terjatuh dari jambatan itu.

"Dianggarkan ketinggian jambatan Jalan Syed Abdul Aziz ke jalan raya adalah kira-kira 15 meter,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini. 

Hasan berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 9.26 pagi dan seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah digerakkan ke lokasi kejadian. 

Katanya operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 10 minit.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post