Warga emas dinasihat dapatkan vaksin, dos penggalak menjelang Ramadan

Gambar kredit Unsplash

KUALA LUMPUR--Warga emas dinasihat mendapatkan vaksin dan dos penggalak COVID-19 sebagai perlindungan diri terutama menjelang Ramadan ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy menerusi ciapan di Twitter beliau hari ini, berkata pengambilan suntikan tersebut amat penting kerana pada bulan puasa nanti ramai warga emas dijangka keluar ke masjid untuk menunaikan solat sunat tarawih.

"Mesej ini juga sangat penting menjelang bulan puasa. Mungkin orang tua kita tidak ke mana-mana sekarang. Tapi tiba Ramadan mereka akan beramai-ramai pergi solat tarawih. Elok 'top-up' perlindungan mereka dengan ‘booster’. Kita ikhtiar dan tawakal kepada Allah,” katanya. 

Dalam ciapan itu, Khairy turut memaklumkan sebanyak 105 kematian COVID-19 dilaporkan semalam dan warga emas yang tiada vaksinasi atau dos penggalak adalah golongan yang amat berisiko tinggi. 

"Kapasiti hospital atau unit rawatan rapi (ICU) terkawal. Tapi saya juga mahu kadar kematian terkawal,” katanya. 

Berdasarkan graf dalam ciapan tersebut, data bagi setiap 100,000 populasi mengikut status vaksinasi semalam, menunjukkan kematian tertinggi dicatatkan golongan yang tidak divaksinasi bagi setiap peringkat umur.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post