Waran tangkap dikeluarkan terhadap bapa Eric

Tertuduh Lee Fook Chuan dan isteri Dynasty Chang Ka Hu. Gambar arkib

KUCHING—Bapa kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dilaporkan hilang sejak 7 Mac lalu dikenakan waran tangkap hari ini, selepas gagal hadir semasa pertuduhan kes berkaitan penyalahgunaan dadah.

Memetik laporan Suara Sarawak, Majistret Zaiton Anuar telah mengeluarkan waran tangkap terhadap tertuduh, Lee Fook Chuan, 30, di Mahkamah Majistret di sini.

Arahan tersebut dikeluarkan terhadap bapa kandung Eric Chang Wei Jie terbabit oleh pihak pendakwaan selain menetapkan tarikh 21 April 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) ADB kerana memasukkan dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badannya sendiri.

Menurut Zaiton, sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Sementara itu, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak sekitar jam 1.53 petang pada 12 November 2020.

Tertuduh sepatutnya dituduh di mahkamah pada 25 Mac lalu bersama isterinya, Dynasty Chang Ka Hui, 25, namun disebabkan tertuduh positif Covid-19, dia perlu menjalani arahan kuarantin.

Dalam pada itu, pendakwaan kes hari ini telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.
Next Post Previous Post