Wanita PRS calonkan Doris tanding kerusi Sri Aman pada PRU15
Mesyuarat Sayap Wanita PRS Pusat sebulat suara mencalonkan Doris Brodie bertanding di kerusi Parlimen Sri Aman pada PRU15. |
Timbalannya, Kaunselor Rosaline Neging berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara selepas mesyuarat Sayap Wanita Pusat PRS yang dipengerusikan Doris di Ibu Pejabat PRS di sini semalam.
Pengumuman itu katanya, bertepatan dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan dengan tema 'Kesaksamaan Jantina Hari Ini Kemampanan Hari Esok'.
Katanya, Doris adalah pilihan tepat kerana beliau seorang yang cekap, berpengalaman luas dan telah lama berkecimpung dalam politik sejak 36 tahun yang lalu.
“Sudah sampai masanya lebih ramai wanita PRS diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat atau memegang jawatan politik sama ada dalam atau luar parti.
“Pada masa kini lantikan itu amat kurang. Impian itu sudah lama tertangguh dan kami berharap kali ini menjadi kenyataan,” katanya.
Rosaline menegaskan, Wanita PRS mempunyai barisan pemimpin wanita yang berwibawa serta boleh menjawat jawatan politik sekiranya diberi peluang.
Katanya, untuk rekod Doris pernah berkhidmat sebagai Senator dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara
Mengenai pilihan raya, Rosaline berkata sayap wanita berasa yakin untuk menghadapi pilihan raya kerana sudah lama mendekati rakyat di peringkat akar umbi secara berterusan.
“Kami sudah bersedia menghadapi pilihan raya pa bila-bila masa. Beliau (Doris) telah turun padang bukan sahaja di Sri Aman malah seluruh negeri terutama di kawasan PRS.
“Sayap wanita PRS telah bekerja keras selama ini dan mempunyai calon wanita yang berpotensi yang boleh diketengahkan,” katanya.
Mesyuarat itu antara lain membincangkan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali Parti yang akan diadakan pada 23 dan 24 April 2022.