UUM perkenal sistem e-Konvo menggunakan RFID
Pengambilan jubah graduan tahun 2020 Majlis Konvokesyen kali ke - 33 UUM sehingga 19 Mac ini. Gambar kredit: FB Pusat Pendidikan Profesional & Lanjutan UUM |
Naib Canselor UUM Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata penggunaan sistem baharu itu mempunyai dua fungsi utama iaitu Sistem Pengurusan Jubah dan Sistem Panggilan Nama Graduan.
“Teknologi RFID yang menggunakan medan elektromagnetik frekuensi radio itu akan memindahkan maklumat daripada tag RFID ke pembaca RFID untuk tujuan pengenalan yang dapat digunakan dalam pelbagai aplikasi.
“Ia juga dapat mengurangkan sentuhan dan interaksi secara langsung dalam jarak yang dekat antara graduan dalam usaha untuk mengekang penularan COVID-19 sepanjang tempoh konvokesyen berlangsung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata tag RFID yang bersaiz kecil dan mempunyai tahap ketahanan yang tinggi serta dapat digunakan dalam jangka masa lama akan disematkan pada semua jubah graduan bagi membolehkan jubah yang disewa oleh graduan dikesan semula.
“Teknologi ini dapat membantu pengurusan jubah dengan lebih cekap serta dapat menjana laporan inventori jubah dengan cepat dan efisien. Sementara itu, untuk Sistem Panggilan Nama Graduan, ia akan dikesan oleh pengimbas RFID dan nama mereka akan diumumkan secara automatik untuk mengambil skrol ijazah.
“Dahulu, penggunaan kad pintar memerlukan petugas menyentuh kad berkenaan tetapi dengan teknologi RFID ini dapat mengurangkan tenaga kerja staf, risiko kehilangan jubah serta meminimumkan kesilapan mengumumkan identiti graduan semasa menerima ijazah,” katanya.
Tambahnya, universiti itu berbangga kerana UUM Information Technology (UUMIT) mengambil inisiatif membangunkan teknologi berkenaan.
-- BERNAMA