Universiti Chulalongkorn bangunkan kit ujian kanser serviks HPV berasaskan kertas

Kit ujian sensor DNA papillomavirus manusia (HPV) berasaskan kertas. Gambar kredit chula.ac.th

BANGKOK—Penyelidik di Thailand telah membangunkan kit ujian yang ringkas, tepat dan pantas untuk pengesanan awal kanser serviks sekali gus dapat membantu menyelamatkan nyawa serta mengurangkan kos rawatan.

Kit ujian sensor DNA papillomavirus manusia (HPV) berasaskan kertas(kit ujian DNA HPV) itu dibangunkan sekumpulan lima penyelidik dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains Universiti Chulalongkorn, telah diuji dan menunjukkan tahap ketepatan yang tinggi dengan sensitiviti sehingga 85 peratus.

Menurut Prof Dr Orawan Chailapaku, kit DNA HPV itu menunjukkan spesifisiti sehingga 78 peratus dan kadar kebolehulangan 100 peratus. 

“Projek itu bermula lapan tahun lalu. Inspirasi itu tercetus apabila melihat orang di sekeliling kita menderita penyakit HPV.

"Saya harap dapat membangunkan peranti yang boleh digunakan untuk pengesanan awal," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini.

Pada masa ini, kanser serviks adalah kanser kedua paling biasa dihidapi wanita di Thailand selepas kanser payudara, dengan kadar 10,000 kes baharu setahun yang menjejaskan wanita berumur antara 30 hingga 60 tahun.

Kanser serviks juga antara punca utama kematian di Thailand, meragut 5,000 nyawa setiap tahun.

Kementerian Kesihatan Awam Thailand mengesyorkan saringan kanser serviks setiap lima tahun untuk wanita berumur 25 tahun dan ke atas.

Bagaimanapun, kos yang agak tinggi dan kaedah pap smear antara punca pengesanan lewat yang boleh menyebabkan kanser merebak, menjadikannya lebih sukar dirawat.

Kit ujian itu lebih mudah digunakan dengan keputusan diperoleh lebih cepat berbanding Pap Smear atau Ujian Pap yang biasa.

Dr Orawan berkata kit ujian DNA HPV menggunakan PNA (Peptide Nucleic Acid), bahan sintetik yang meniru DNA manusia dan direka bentuk untuk menyasarkan strain virus penyebab kanser tertentu.

“Sampel urin dicampur dalam larutan dan kemudian diletakkan ke atas kertas, untuk melihat perubahan dalam warna larutan.

“Dalam keadaan biasa, warna larutan adalah merah terang; tetapi jika urin dicemari oleh virus, warnanya kelihatan lebih cerah. Tahap kecerahan warna berbeza mengikut jumlah virus. Kami mempunyai alat tambahan, digunakan dengan aplikasi kalorimeter pada telefon pintar yang membantu menjelaskan lagi keamatan warnanya,” katanya.

Dr Orawan berkata pasukan penyelidik berharap inovasi itu akan mendorong lebih ramai wanita untuk menjalani ujian saringan secara berkala, dengan proses yang mudah dan tidak menyakitkan, pada harga  berpatutan – tidak melebihi 500 baht.

Ia juga sesuai untuk ujian berkala misalnya, sebulan sekali, di pusat kesihatan berdekatan, tambahnya.

Kit Ujian DNA HPV itu belum dihasilkan untuk kegunaan di rumah hanya untuk digunakan di pusat kesihatan dan hospital komuniti.

-- BERNAMA 
Next Post Previous Post