UiTM ambil tindakan pensyarah hina pelajar B40

Naib Canselor Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor. Gambar kredit BERNAMA

SHAH ALAM— Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan terhadap pensyarah kontrak di cawangan Seri Iskandar, Perak yang telah memperlekeh penuntut B40 universiti itu seperti tular di media sosial, awal pagi tadi.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata pihaknya kini sedang meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya mengenai perkara itu.

“Sebenarnya, saya difahamkan bahawa perkara tersebut berlaku pada semester lepas (antara September 2021 dan Januari 2022), bukan berlaku semalam. Isu ini seperti ada perancangan mengapa ia di upload (muat naik) semalam.

“Bagaimanapun, kita telah trace (kesan) penuntut tersebut dan kita telah hantar peralatan (komputer riba) yang dia perlukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pelancaran program One To One Tree serta menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Hijau Malaysia dan UiTM di sini hari ini.

Roziah berkata pensyarah kontrak di Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) itu seorang yang bagus dan berpengalaman, mungkin ada sedikit kesilapan.

“Bukan pelajar sahaja stress (tertekan), pensyarah juga stress, kita jangka dia juga dalam keadaan tertekan. Pensyarah UiTM semua mahu yang terbaik untuk pelajar-pelajar mereka, mungkin pertanyaan dia (penyarah kontrak tersebut) itu tidak kena dan terbawa-bawa,” katanya.

Roziah berkata beliau perlu bertimbang rasa untuk pelajar dan stafnya.

“Saya tidak bagi orang tularkan staf saya, saya perlu jaga kedua-dua belah pihak, pelajar saya sayang, staf juga saya sayang,” katanya.

Sementara itu,  Roziah dalam satu kenyataan menyeru kepada para penuntut yang berhadapan dengan sebarang masalah agar dapat berhubung dengan pihak fakulti dan universiti untuk mendapatkan khidmat nasihat serta bantuansewajarnya bagi membantu melancarkan proses pembelajaran.

Menurut kenyataan itu, pihak universiti telah menyediakan pelbagai dana untuk kegunaan penuntut yang kurang berkemampuan seperti dana amanah pelajar, bantuan dari pusat zakat serta pihak alumni.

Awal pagi tadi tular di media sosial mengenai rakaman (kelas dalam talian) seorang pensyarah telah memperlekeh penuntutnya kerana tidak mempunyai komputer riba serta meminta penuntut sama menyuruh kakaknya menggadai emas bagi membeli peralatan tersebut.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post