Uggah minta JKR bertindak, projek sakit menyusahan rakyat


BETONG— Impian rakyat Sarawak menikmati infrastruktur sempurna masih samar berikutan kegagalan kontraktor menyiapkan projek mengikut jadual meskipun tarikh sudah dianjak.

Antara projek-projek tersebut adalah projek Fasa 1 melibatkan Jalan Ulu Paku di Spaoh/Ulu Gerenjang dan Ulu Krian di Saratok/Ulu Kota di Pakan, Jalan Penom di Spaoh/Ulu Bayor di Debak/ Danau di Betong selain projek Lapangan Terbang Bebuling dan Jambatan Sungai Paku masing-masing di Spaoh dan Jalan Debak-Tuie di Debak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam lawatan ke tapak projek baru-baru ini dipetik berkata, Jalan Ulu Paku/Ulu Gerenjang/Ulu Krian/Ulu Kota mengalami kelewatan penyiapan projek sehingga 29 peratus.


Jalan sepanjang 6.92 kilometer (km) dengan kos RM15.2 juta itu katanya, dijadualkan siap pada 13 Oktober 2021 namun dijadualkan semula kepada 27 Mac 2022.

Sementara itu kata Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) berkata, projek jalan 7.4km sepanjang jalan Penom ke Danau mengalami kelewatan sebanyak 45 peratus.

"Projek yang menelan kos RM9.9 juta ini seharusnya siap pada 30 April 2021 namun, dijadualkan semula pada 22 Februari 2022," katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak kedua-dua projek berkenaan baru-baru ini.

Sementara itu, Uggah berkata, projek Lapangan Terbang Bebuling mengalami kelewatan sehingga 18.99 peratus daripada jadual pembinaannya dan projek bernilai RM108 juta ini dijadual siap pada 17 September 2022.


Jelasnya, beliau dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong, kelewatan projek disebabkan masalah kesukaran kontraktor membawa jentera serta bahan-bahan binaan ke tapak projek selain keadaan cuaca tidak menentu.

"Projek Jambatan Sungai Paku di Tanjung Sebekut turut mengalami kelewatan 6.71 peratus daripada jadual disebabkan prestasi kontraktor yang perlahan, kelewatan penghantaran bahan-bahan binaan dari Semenanjung Malaysia menyukarkan proses kelancaran.

"Jambatan sepanjang 100 meter bernilai RM26.75 juta ini mula dibina pada 6 Mei 2021 dan dijadual siap 5 November 2023 namun, disebabkan kelewatan tarikh baharu jambatan dijadualkan siap adalah pada 21 Disember 2023," katanya.

Kelewatan penyiapan projek atau dikenali sebagai projek sakit merupakan fenomena biasa berlaku dalam industri pembinaan melibatkan projek kerajaan mahupun swasta.

Terdapat beberapa faktor menjadi punca projek sakit antaranya sikap kontraktor mengambil mudah proses pembinaan menyebabkan banyak projek tidak dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.


Sikap tersebut memberi kesan yang amat ketara terhadap pembangunan setempat terutamanya projek mega yang mampu memberikan impak terhadap pembangunan setempat.

Lebih memburukkan keadaan apabila kelewatan ini membangkitkan kemarahan rakyat dan menjadi isu dalam permainan politik di mana sudah pastinya wakil rakyat mewakili sesuatu kawasan tersebut menjadi mangsa.

Ia dapat dilihat menerusi laman sosial apabila rakyat mula melontarkan cemuhan dan tuduhan kepada wakil rakyat sedangkan masalah sebenar berpunca daripada pihak pelaksana iaitu JKR dan kontraktor.

Kelewatan projek rakyat tersebut bukan hanya membantutkan pembangunan setempat sekali gus menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi.

Justeru, semua pihak terutama Kerajaan Sarawak dan Persekutuan, agensi pelaksana seperti JKR dan kontraktor terlibat perlu memainkan peranan masing-masing dengan lebih komited dalam menyiapkan projek ini.
Next Post Previous Post