Udang kara air tawar jana pendapatan tinggi
(empat kanan) Dr Rundi menyaksikan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) dan Thian Yen Aquaculture Sdn Bhd menandatangani Perjanjian Lesen bagi penternakan udang kara air tawar. Gambar kredit: MANRED |
KUCHING—Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak akan menjadikan harga udang kara air tawar yang tinggi serta pemintaan menggalakan terhadapnya sebagai tarikan kepada golongan profesional muda negeri itu menternaknya dan memperolehi pendapatan lumayan.
Menterinya Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata selain permintaan tinggi di pasaran tempatan, udang kara turut mendapat permintaan menggalakkan dari negara-negara seperti Korea dan China, dengan harganya mencecah sehingga RM85 sekilogram.
“Kini sudah ada ladang ternakan udang kara diusahakan di Miri, yang mampu mengeluarkan sebanyak dua tan udang sebulan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Penternakan Udang Kara di Sarawak anjuran Jabatan Pertanian Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya jumlah pengeluaran ladang ternakan berkenaan belum mencukupi untuk memenuhi permintaan di bandar raya utara Sarawak itu, yang memerlukan tidak kurang dari 40 tan sebulan.
Selain di Miri, kajian juga sedang dibuat untuk memulakan ladang ternakan yang sama di Tarat dekat sini, tambahnya.
-- BERNAMA