Tragis, dua maut dalam nahas jalan raya libatkan tiga kenderaan
KUCHING: Dua lelaki maut dalam kemalangan tragis melibatkan tiga kenderaan di Moyan, Jalan Batu Kawa-Bau di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata dua mangsa dikenali sebagai Muhammad Saiffudin Muhi,29, berasal dari Kampung Hulu, Serian dan Afandi Ni-Eng, 37, berasal dari Kampung Sungai Tapang.
"Kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 9.48 pagi semasa kedua-dua mangsa yang menaiki sebuah kereta datang dari arah Batu Kawa menghala ke Bau.
"Hasil siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa (Muhammad) dikatakan berhenti secara mengejut lalu dilanggar sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV ) dari arah belakang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, akibat perlanggaran tersebut menyebabkan kereta dinaiki mereka terbabas ke laluan bertentangan lalu dilanggar sebuah van, mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit.
Ekoran kemalangan itu, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.
Kata Alexson, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa pasukan perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS).
Sementara pemandu MPV dan van katanya hanya mengalami cedera ringan.
Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk tindakan selanjutnya.
Tegasnya, kesemua kenderaan terlibat ditahan dan sampel darah pemandu MPV serta van turut diambil untuk siasatan lanjut.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.