TLDM bina pangkalan di Bintulu

Datuk Sabri Zali (tengah) bercakap semasa sidang media selepas merasmikan penutupan Latihan Pelayaran ‘Operational Sea Training Excercise East’ (OSTEX EAST) 1/22, di sini, hari ini. Gambar kredit Markas Pemerintahan Armada Timur

KUCHING—Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang di peringkat akhir proses pengambilan tanah bagi memulakan projek pembinaan pangkalan pertamanya di Sarawak, yang bertempat di Samalaju di Bintulu, utara negeri itu.

Panglima Armada Timur TLDM Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata tapak untuk projek pangkalan itu telah ditawarkan Kerajaan Sarawak, dan pembinaannya dirancang bermula dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 dengan jangkaan beroperasi menjelang pertengahan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Pangkalan ini apabila siap nanti akan menjadi Markas Wilayah Laut 4 untuk menempatkan kapal-kapal TLDM di Sarawak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Latihan Pelayaran ‘Operational Sea Training Excercise East’ (OSTEX EAST) 1/22, di sini, hari ini.

Katanya TLDM tidak mampu menempatkan kapal-kapalnya dalam jangka masa panjang di pelabuhan awam di negeri itu, kerana kosnya yang tinggi dan ini meningkatkan keperluan untuk membina pangkalannya sendiri.

Beliau menambah TLDM buat masa ini sedang melaksanakan Operasi Satria dengan majoriti daripada jumlah kapal yang digunakan berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah bagi menjaga keseluruhan perairan Sarawak khususnya di kawasan Beting Patinggi Ali.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post