Tidak perlu isi Enter Sarawak & eHDF mulai 1 April: Uggah
KUCHING: Para pengembara yang memasuki negeri ini tidak lagi perlu mengisi Enter Sarawak dan borang E-Health Declaration (eHDF) mulai 1 April nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia berikutan peralihan fasa daripada pandemik ke endemik yang akan berkuat kuasa di seluruh negara mulai 1 April nanti.
Tambahnya, ia juga selari dengan pembukaan sempadan yang mana pelancong dari luar negara dibenarkan masuk tanpa perlu memohon daripada My Travel Pass.
"Namun, mereka (pengembara) perlu memuat turun dan mengisi borang 'Pre Departure Form' menerusi 'Traveller Icon' di aplikasi MySejahtera.
"Dalam pada itu, salinan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19 untuk mereka yang datang melalui udara dan darat akan disediakan," katanya dipetik menerusi laporan The Borneo Post hari ini.
Jelas Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak, sudah memadai dengan memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengisi borang soal selidik yang berkaitan dalam aplikasi berkenaan.
Katanya lagi, ini selaras dengan usaha Sarawak dalam mengambil langkah berjaga-jaga dengan merancang SOP yang lebih praktikal bagi memastikan negeri ini bergerak ke arah fasa endemik dengan selamat.
Tegasnya, negara secara beransur-ansur menarik balik sekatan yang ditetapkan sebelum ini menerusi peralihan fasa ke endemik.
"Mulai 1 April ini, sempadan Sarawak akan dibuka semula dengan sembilan keperluan yang akan dikemas kini dan maklumat berkenaan akan disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," jelasnya.
Beliau memberitahu, pihaknya kini sedang menyediakan keperluan keselamatan di lapangan terbang.
Justeru, beliau berharap sebaik sahaja sempadan dibuka, kerumitan dan kesesakan yang biasanya berlaku di kawasan berkenaan dapat dikurangkan.
"Kita juga berharap dapat menyediakan sistem yang mudah ketika membuat saringan kerana apabila pelancong datang, mereka akan diuji sekali gus membuatkan pelancong terpaksa menunggu," ujarnya.
Selain itu, Uggah berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan Brunei dan Indonesia mengenai prosedur kemasukan menerusi jalan darat.
"Oleh itu, masyarakat perlu memainkan peranan dengan baik dalam memastikan kejayaan ke arah fasa peralihan ini," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati rakyat negeri ini agar mendapatkan vaksinasi dan dos penggalak COVID-19 kerana ia terbukti berkesan untuk melindungi daripada penyakit yang teruk dan mengurangkan kematian akibat jangkitan wabak itu.
Mengenai SOP untuk perayaan akan datang, Uggah menjelaskan JPBNS turut membincangkan perkara berkenaan yang mana SOP aktiviti dan program keagamaan, ia akan dikeluarkan oleh Majlis Islam Sarawak dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
"Bagi SOP Bazar Ramadan dan Bazar Gawai pula, ia akan dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan," ujarnya.