Tiada DNA babi dalam sampel sotong ring sejuk beku, KPDNHEP


PUTRAJAYA-- Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan bahawa tiada DNA babi dikesan di dalam sampel produk sotong ring atau gegelang sotong sejuk beku seperti didakwa seorang pengguna, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata ia adalah hasil analisis ke atas sampel produk tersebut yang disita oleh Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan dihantar ke jabatan kimia.

Beliau berkata produk berkenaan disita hasil pemeriksaan dan siasatan ke atas beberapa premis di peringkat peruncit, pemborong, pengedar dan pengimport produk tersebut di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Johor susulan dakwaan yang tular menerusi media sosial mengenai sotong ring sejuk beku mengandungi rektum babi.

"Sampel-sampel daripada produk terbabit telah dihantar kepada Jabatan Kimia untuk tujuan mengenal pasti sama ada produk terbabit mengandungi DNA babi atau sebaliknya.

Susulan itu, melalui keputusan yang diterima daripada Jabatan Kimia telah mengesahkan bahawa tiada DNA babi dikesan di dalam sampel terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanta menasihatkan pengguna supaya berhati-hati dalam menyebarkan maklumat terutama menerusi media sosial termasuk isu berkaitan halal kerana ia mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.

Isu itu bermula daripada satu tangkap layar yang ditularkan oleh seorang pengguna dengan mendakwa sotong ring mengandungi rektum babi itu ditemuinya di sebuah premis di Perlis.

-- BERNAMA 
Next Post Previous Post