Terbuka Jerman: Zii Jia kandas di separuh akhir

Zii Jia kandas di separuh akhir. Gambar kredit FB Victor

KUALA LUMPUR—Hasrat jaguh perseorangan badminton negara Lee Zii Jia untuk mengesahkan tiket ke pentas final Terbuka Jerman 2022 tidak tercapai, apabila tewas kepada Kunlavut Vitidsarn dari Thailand dalam aksi separuh akhir hari ini.

Turun selaku pilihan kelima, Zii Jia bagaimanapun beraksi tumpul dalam pertemuan berdepan pemain dari Thailand yang menduduki ranking ke-20 dunia itu apabila tewas 13-21, 12-21 pada kejohanan di Westenergie Sporthalle, Muelheim.

Kekalahan pemain berusia 23 tahun dalam aksi selama 40 minit itu sekali gus memberi ruang kepada Kunvalut ke final, dan dijangka membuat perhitungan bertemu pilihan pertama kejohanan dari Denmark Viktor Axelsen atau pemain bukan pilihan Lakshya Sen dari India, lewat malam ini.

Dalam pada itu, pasangan beregu negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berjaya menceriakan kem negara selepas menempah tiket ke final dengan mengejutkan pasangan He Ji Ting-Zhu Hao Dong dari China.

Pada set pertama, Sze Fei-Nur Izzuddin bermula garang apabila menewaskan pasangan dari China itu 21-12.

Tidak mahu menyerah kalah, Ji Ting-Hao Dong kembali memberikan saingan sengit di set kedua, sebelum Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya mengesahkan tempat ke pentas akhir dengan kemenangan 21-18, dalam aksi berlangsung selama 39 minit.

Beregu lelaki negara itu dijangka bertemu sama ada Liu Yuchen-Ou Xuanyi dari China yang juga pilihan kelima, yang dijadual berdepan Kim Astrup-Anders Skaarup Ramussen dari Denmark, dalam satu lagi aksi separuh akhir, malam ini (awal pagi Ahad).

-- BERNAMA
Next Post Previous Post