Teknologi VR bantu usaha pelestarian alam sekitar, Zaini ujang

Gambar kredit BERNAMA

KUALA LUMPUR— Penggunaan teknologi realiti maya (VR) mampu memudahkan pengurusan alam sekitar termasuk sumber air selain meningkatkan kefahaman dan komitmen masyarakat terhadap usaha pelestarian alam sekitar.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata penggunaan teknologi digital seperti VR juga membantu masyarakat mengetahui dengan lebih mendalam mengenai isu alam sekitar dan tanggungjawab setiap individu, organisasi serta institusi dalam usaha melestarikan sumber air.

Beliau berkata VR adalah kaedah pengintegrasian elemen digital untuk menyediakan maklumat secara lebih menarik dan mudah difahami ke arah meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan alam sekitar khususnya sumber air.

“Teknologi VR ini dibangunkan dengan usaha sama penyelidik Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama syarikat tempatan Teras Berkat (M) Sdn Bhd sejak 2019 dan setakat ini, terdapat tiga modul VR pelestarian alam sekitar dibangunkan iaitu air, sungai dan perubahan iklim.

“Sistem bersepadu pengurusan sumber air menggunakan teknologi VR ini turut dipamerkan pada pameran Jabatan Pengairan dan Saliran sempena sambutan Hari Air Sedunia 2022 di Pahang hari ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan majlis perasmian Hari Air Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Taman Awam Bera, Pahang.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post