Tak mampu perang, kapal TLDM sudah 'tua' dimamah usia

Gambar sekitar Latihan OSTEX EAST 1/2022 yang telah dilaksanakan di perairan Laut China Selatan bermula 14 Mac lalu. -Gambar kredit Suara Sarawak

KUCHING—Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berharap kerajaan menyediakan peruntukan bagi mengatasi isu aset milik tentera itu yang sudah uzur dimamah usia dan tidak mempunyai keupayaan dari segi persenjataan untuk peperangan.

Memetik laporan Suara Sarawak pada Rabu lalu, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata, berikutan keadaan ini Malaysia dijangka berdepan cabaran besar jika berlaku konflik di perairan negara.


“Kita ada kapal untuk operasi buat masa ini tetapi jika ada konflik, kita akan berdepan cabaran besar.

“Sebab itu TLDM bersama-sama Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang berusaha keras dan amat mengharapkan peruntukan daripada kerajaan untuk mengatasi isu ini sebagai persediaan kita menghadapi apa jua kemungkinan yang akan datang, yang kita sendiri tidak tahu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara penutupan Latihan Pelayaran Operational Sea Training Exercise East (OSTEX EAST) 1/2022 Rabu lalu.

Dalam pada itu, Sabri menambah ketika ini, TLDM hanya memiliki 22 kapal dengan sebahagian besarnya sudah berusia lebih 40 tahun.

Jelas beliau jumlah aset itu juga tidak mencukupi untuk beroperasi bagi menjaga perairan negara.

Tambahnya, meskipun mempunyai 22 kapal namun dalam satu-satu masa, tiga atau empat kapal akan berada di limbungan untuk penyelenggaraan.

"Semasa masa menjalankan operasi 24 jam, kami juga perlu menggunakan kapal seperti untuk latihan dan rutin-rutin lain,” jelasnya.


Sementara, Latihan OSTEX EAST 1/2022 telah dilaksanakan di perairan Laut China Selatan bermula 14 Mac lalu, yang turut disertai oleh Sabri.

Sebanyak lapan buah kapal TLDM, KD PERAK, KD SUNDANG, KD BADIK, KD RENCONG, KD GANAS, KD SERANG, KD TODAK dan KD BAUNG serta sebuah kapal selam, sebuah helikopter Fennec, sebuah pesawat Unmanned Aerial Surveillance (UAS) Scan Eagle dan dua buah pesawat Hawk milik TUDM telah terlibat dalam latihan berkenaan.

Pelaksanaan OSTEX EAST 1/22 adalah bagi mempamerkan kehadiran aset-aset TLDM di Laut China Selatan serta membuktikan TLDM sentiasa komited menjaga perairan negara.

Latihan OSTEX EAST kali ini memberi penekanan terhadap latihan kemahiran seperti komunikasi, navigasi, peperangan dan juga ilmu kelautan bagi tujuan meningkatkan kompetensi warga kapal.

Selain itu, OSTEX EAST juga akan dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan tahap kesiagaan armada timur sentiasa berada pada tahap yang optimum.
Next Post Previous Post