Syarikat AS komited melabur RM1 Bilion di Bintulu, Abang Johari

Gambar kredit Sarawakku

BINTULU—Sebuah syarikat dari Amerika Syarikat (AS) komited untuk melabur RM1 bilion sebagai sebahagian daripada pembangunan loji metanol di sini, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tanpa mendedahkan butiran khusus mengenai komitmen itu, beliau berkata syarikat itu, yang terkenal dengan produk perubatan, akan membelanjakan RM200 juta untuk mendirikan lojinya dan RM800 juta lagi untuk fasa pembangunan seterusnya.


“Pembangunan pelaburan di hab petrokimia itu akan dilaksanakan mulai tahun ini hingga 2027 dan selepas itu, akan ada satu lagi cadangan pembangunan petrokimia di sini,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek di Tanjung Kidurong di sini.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak sedang membuat rancangan komprehensif mengenai pembangunan projek metanol di Tanjung Kidurong untuk mengembangkan hab itu untuk lebih ramai pelabur dalam masa terdekat.


Selain syarikat dari AS itu, beliau berkata negeri itu menerima cadangan daripada beberapa pelabur baharu yang ingin menempatkan operasi mereka di kawasan itu, iaitu di kawasan sebuah loji pengeluaran hidrogen akan diwujudkan.

Beliau menambah bahawa hab petrokimia itu akan menggaji 15,000 pekerja dan menyumbang kira-kira antara enam hingga tujuh peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Sarawak pada masa hadapan.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post