Stesen Hidrogren Bersepadu PETROS direalisasi, operasi pertama dibuka di Darul Hana


KUCHING—Sarawak kini memiliki Stesen Pengisian Hidrogren Bersepadu yang dikendalikan oleh jenama syarikat petroleumnya sendiri, PETROS berikutan pembukaan stesen pertama di Darul Hana.

Memetik Sarawak Update Live, pembukaan stesen ini sejak semalam merealisasikan impian Sarawak untuk menggunakan jenama PETROS.

Stesen minyak pelbagai bahan bakar ini dibangunkan anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) iaitu SEDC Energy.


“Pembinaan stesen berkonsepkan tiga dalam satu ini selari dengan aspirasi Sarawak ke arah menjana alam sekitar yang lebih bersih.

“Ia dilengkapi dengan tiga fungsi utama iaitu pam minyak, tempat pengisian hidrogen serta kemudahan khas bagi mengecas kenderaan hibrid,” kata laporan itu.

 

Beroperasi seawal jam 6 pagi sehingga 10.30 malam, stesen PETROS ini menyediakan pengisian bahan api seperti di stesen bahan api yang lain iaitu minyak petrol RON 97, RON 95, Diesel Go dan Diesel Max.


Lebih menarik, apabila stesen minyak lain menggunakan nozel bewarna hijau untuk pam minyak RON 97, di stesen PETROS ini mereka menggunakan nozel pam bewarna merah.

Selain menerapkan aplikasi teknologi masa kini, penggunaan paip secara automatik turut digunakan di setiap singki tandas yang terdapat di stesen ini.


Difahamkan, perkhidmatan mengecas kenderaan elektrik (EV) serta pengisian bahan api menggunakan bahan bakar hidrogen akan beroperasi dalam masa terdekat.

Sementara itu sambutan daripada orang ramai amat memberangsangkan selain pelanggan turut melakukan pembayaran tanpa tunai melalui platform SarawakPay.


Pembinaan stesen ini antara lain turut menyokong usaha Sarawak mengurangkan pelepasan karbon dioksida berlebihan sekali gus menjadi penyumbang kepada pencemaran udara.

Selepas Darul Hana, kerajaan turut merancang membina lima lagi stesen di Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.
Next Post Previous Post