Seorang maut, pikap terperosok bawah lori


SARIKEI—Seorang lelaki pertengahan usia maut selepas pikap dipandunya melanggar sebuah lori sehingga terperosok dan melekat di bawah lori yang berlaku di Jalan Sarikei-Bintangor, hari ini.

Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata, dalam kemalangan sekitar jam 10.49 pagi itu, pemandu pikap terbabit, Tiong Ping Chiong, 56, dari Ulu Sungai Merah disahkan meninggal dunia di lokasi.


"Sementara itu pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan.

"Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu yang terperosok di bahagian bawah lori disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang pergi ke lokasi kejadian," katanya.


Beliau menjelaskan, anggota bomba telah memohon bantuan lori awam yang berada di lokasi kejadian untuk memisahkan kedua-dua kenderaan tersebut bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Tambah Mahmudin, bomba mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya lagi, mayat mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Punca kemalangan masih dalam siasatan polis," ujarnya.
Next Post Previous Post