Sembunyi air ketum dalam plastik sampah

Gambar kredit Polis Daerah Barat Daya

BALIK PULAU-- Tindakan seorang lelaki yang membawa 676 bungkusan air ketum dalam bungkusan plastik sampah dalam kenderaannya yang dipercayai cuba mengelak dikesan polis terbongkar selepas suspek ditahan di Jalan Sungai Burung, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan di tepi jalan dan pemeriksaan dalam kenderaan dipandunya menemui masing-masing 13 bungkusan besar plastik sampah warna hijau dan hitam yang mengandungi air ketum.

"Polis menahan kereta itu kerana pemandunya berada dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan kami menemukan 26 plastik besar yang mengandungi 676 bungkusan air ketum dipercayai lelaki tersebut mahu menjualnya," katanya dalam kenyataan malam tadi.


Katanya semua air ketum bernilai RM3,380 itu dirampas dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan dalang utama yang menjalankan kegiatan memasak serta menjual air ketum tersebut.

Beliau berkata lelaki yang tidak bekerja itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Kamarul Rizal berkata polis menahan tiga lelaki berusia 20-an dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Jalan Sultan Azlan Shah-Lebuhraya Tun Dr Lim Cheung Eu, dekat sini bermula 11 malam semalam hingga 7 pagi hari ini.


Katanya dalam operasi itu sebanyak 18 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan lalu lintas dan tiga motosikal turut disita.

"Hasil pemerhatian dalam operasi itu terdapat kumpulan motosikal yang menunggang secara menduga kelajuan dan beraksi membongkokkan badan serta aksi 'superman' yang jelas berbahaya kepada diri mereka dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Beliau berkata tiga lelaki yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya akan sentiasa memantau aktiviti samseng jalanan setiap masa terutama pada hujung minggu bagi mengekang kegiatan tersebut.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post