SEDC, UEM Edgenta bekerjasama rangsang pembangunan ekonomi di Sarawak

Perjanjian pemegang saham menerusi Opus Consultants (Sarawak) Sdn Bhd (OCS) hari ini. Gambar kredit FB SEDC Sarawak


KUALA LUMPUR— Subsidiari milik penuh UEM Edgenta Bhd, Opus International (M) Bhd (OIMB) dan anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), PPES Consults Sdn Bhd sedang bekerjsama bagi merangsang pembangunan ekonomi di Sarawak.

 

Pihak-pihak berkenaan telah memeterai usaha sama itu melalui perjanjian pemegang saham menerusi Opus Consultants (Sarawak) Sdn Bhd (OCS).

 

Mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata usaha sama itu adalah 51 peratus milik PCSB dan 49 peratus dimiliki OIMB, yang akan memacu perkongsian sumber bagi memastikan penyampaian projek infrastruktur mega yang lancar di negeri tersebut.

 

"Kerjasama ini juga akan menyokong pembangunan kepakaran tempatan dengan OCS menyediakan perkhidmatan perundingan pengurusan serta kejuruteraan projek untuk pembinaan utama dan projek kejuruteraan di Sarawak,'' katanya.

 

Pengurus Besar SEDC Abdul Hadi Abdul Kadir melahirkan keyakinan ke atas kepakaran Opus dalam pengurusan projek dan reka bentuk kejuruteraan dalam mencapai matlamat untuk mempromosikan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kehidupan rakyat Sarawak.

 

Pengarah Urusan OIMB Ir Dr Tony Chan berkata kerjasama itu dapat membantu Sarawak untuk mencapai status ekonomi maju menjelang 2030.

 

Melalui perkongsian strategik itu, pihak-pihak berkaitan akan bekerjasama dalam tempoh lima tahun dengan memberi tumpuan kepada pertukaran inovasi untuk membangun serta membina keupayaan kejuruteraan teknikal di seluruh sektor komersial, perindustrian dan sosioekonomi Sarawak.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post