Sarawak mahu jadi peneraju ekonomi - Abang Johari

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Gambar kredit FB Sarawakku

KUCHING—Sarawak perlu mempertingkat pembangunan bakatnya dalam usaha memenuhi aspirasinya untuk tampil sebagai peneraju pembangunan ekonomi di Malaysia.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata aspirasi itu menawarkan peluang kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina atau bangsa untuk mengaplikasi bakat dan pengetahuan mereka dalam menggunakan sepenuhnya sumber sedia ada dalam usaha membawa negeri itu ke hadapan dalam pembangunan.

“Untuk menjadi peneraju, anda mesti memiliki sesuatu yang baharu. Jika ia bukan baharu, anda hanya pengikut. Itulah sebabnya kalau boleh, kami berhasrat menjadikan Sarawak sebagai peneraju dalam pembangunan ekonomi di Malaysia. Kami memiliki sumber, cuma dari segi bakat, pembangunannya perlu dipertingkat,” katanya.


Ketika menyampaikan ucaptama penutupan program Women of Tomorrow Boot Camp di sini hari ini, beliau berkata dalam melangkah ke arah tahun 2030, Sarawak akan terus meneroka idea baharu untuk pembangunan masa depannya yang berasaskan digitalisasi.

Abang Johari berkata pemimpin Sarawak pada masa akan datang perlu menguasai ilmu dan teknologi terkini yang boleh dimanfaat untuk mencapai aspirasi negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Pusat Kecemerlangan Teknikalnya (Centexs) telah pun menjalin kerjasama dengan gergasi komunikasi China iaitu Huawei sejak 2019 untuk menubuhkan pusat latihan global di sini.


Abang Johari berkata sejak itu, sebilangan rakyat Sarawak telah menjalani program latihan teknologi digital dengan peserta paling aktif ialah wanita.

Beliau berkata dalam usaha membawa Sarawak ke hadapan, kerajaan negeri akan mencari jalan untuk membolehkan Bumi Kenyalang menjadikan generasi kelima telekomunikasi (5G) sebagai antara infrastruktur asasnya selain jalan raya serta bekalan air dan elektrik.

“Apabila kita telah meletakkan infrastruktur asas ini, komunikasi boleh dibuat dalam masa nyata. Itulah sebabnya saya lebih suka untuk terus ke 5G berbanding secara berperingkat (migrasi daripada 4G). Ia memerlukan wang tetapi tidak mengapa, kami akan cuba mencari wang untuk melabur,” katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post