Saf solat di Sarawak kembali normal mulai 1 April


KUCHING--Majlis Islam Sarawak (MIS) membenarkan solat Jumaat, fardhu, solat sunat, khutbah dan wirid selepas solat di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal sempena Fasa Peralihan Ke Endemik COVID-19 berkuat kuasa 1 April ini.

MIS dalam kenyataan memaklumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ini dikeluarkan untuk dilaksanakan dalam Sarawak selaras dengan situasi semasa wabak COVID-19 di bawah Fasa Peralihan Ke Endemik Covid-19.

"Majlis Islam Sarawak bersetuju memutuskan perkara-perkara berikut iaitu solat Jumaat, solat fardhu, solat sunat, khutbah dan wirid selepas solat di masjid dan surau adalah dibenarkan tanpa penjarakan fizikal," katanya.

Bagaimanapun, MIS memberitahu semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti pengajian, kuliah, ceramah, kursus, bengkel, tadarus, tahlil, berbuka puasa, moreh, qiamullail, sahur, iktikaf, khatamal Al-Quran dan lain-lain adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal.

Selain itu, penganjuran aktiviti sosial yang sesuai diadakan di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal.

"Pengurusan dan pengkebumian jenazah yang tiada kaitan dengan COVID-19 adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal," tambahnya.

Dalam pada itu, MIS berkata, SOP utama COVID-19 yang perlu dipatuhi adalah menggunakan pelitup hidung dan mulut (facemask) sepanjang masa, mendaftar kehadiran melalui Mysejahtera sebelum masuk ke dalam masjid dan surau, digalakkan membawa sejadah atau alas sujud sendiri.

Selain itu, jamuan adalah dibenarkan mengikut Prosedur Operasi Standard COVID-19 semasa dan mana-mana individu yang masih dalam tempoh notis kuarantin COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau yang mempunyai gejala demam, selsema, batuk atau sesak nafas adalah dilarang menghadiri solat dan semua aktiviti lain di masjid dan surau.

"Semua SOP COVID-19 hendaklah dipatuhi
sebagaimana yang ditetapkan oleh KKM, Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB).

"Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau bertanggungjawab menguatkuasakan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan ini," tegasnya.

Menurutnya lagi, dengan kelulusan JPBNS boleh mengubah atau meminda SOP ini dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.

"Pemakaian Prosedur Operasi Standard ini berkuatkuasa mulai 1 April 2022 sehingga mana-mana arahan lanjut yang ditetapkan oleh MIS dengan kelulusan JPBNS," ujarnya.
Next Post Previous Post