Sabah, Sarawak nikmati limpahan ekonomi ibu negara baharu Indonesia

Gambar arkib Buku Saku Pemindahan Ibu Kota Negara

JAKARTA—Sabah dan Sarawak akan mendapat manfaat daripada keputusan Indonesia untuk memindahkan ibu negaranya dari Jakarta ke Kalimantan, yang dijangka bermula pada suku pertama 2024.

Ini dinyatakan dalam taklimat oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jakarta (KADIN) pada sesi meja bulat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. 

“Pemindahan ibu negara Indonesia dijangka memberi limpahan ekonomi dan pembangunan yang akan memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak melalui ekonomi sempadan,” kata Ongkili.

Turut hadir pada sesi itu ialah Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq.

KADIN ialah organisasi yang terdiri daripada dewan dan persatuan perniagaan Indonesia yang memberi tumpuan kepada semua perkara berkaitan dengan perdagangan nasional dan antarabangsa, industri dan perkhidmatan.

Dengan 34 dewan serantau dan 524 cawangan, ia adalah satu-satunya organisasi perniagaan di seluruh negara yang diberi mandat oleh pihak berkuasa Indonesia untuk bercakap bagi pihak perniagaan swasta, berhubung dengan pegawai kerajaan dan meliputi semua sektor yang berkaitan.

Ongkili, yang mengetuai delegasi Malaysia untuk lawatan rasmi selama seminggu ke Indonesia, menekankan bahawa KADIN sedang mengusahakan beberapa perkara dengan kerajaan Malaysia untuk meningkatkan hubungan dua hala dan ekonomi.

Katanya terdapat keperluan untuk membangunkan infrastruktur yang lebih baik dan mewujudkan kawalan keselamatan yang lebih baik seperti menubuhkan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan di semua pintu masuk di sepanjang sempadan Kalimantan - Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata Sabah dan Sarawak perlu mengambil peluang yang boleh didapati berdasarkan kedudukan kedua-dua negeri itu yang berdekatan dengan ibu negara Indonesia yang baharu.

“Kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia telah lama wujud, tetapi masih ada ruang untuk ditambah baik,” katanya.

Ongkili dan delegasinya dijadual bertemu dengan pegawai tertinggi di Indonesia untuk membincangkan pelbagai perkara, terutamanya yang berkaitan dengan hubungan dua hala, ekonomi dan isu antarabangsa yang lain.

Pasukan delegasi itu termasuklah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menyifatkan lawatan selama seminggu itu sebagai ‘tepat pada masanya dan strategik’, Ongkili berkata pasukan itu berhasrat untuk mendapatkan maklumat langsung mengenai lokasi ibu negara baharu Indonesia dan jangkaan impaknya kepada ekonomi sempadan antara Kalimantan serta Sabah dan Sarawak.

“Kami turut berharap lawatan itu akan meningkatkan hubungan sedia ada antara kedua-dua negara, supaya kami dapat bekerjasama rapat, dari segi ekonomi, sosial dan politik pada masa depan,” katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post