Rumah Kedai di Pekan Sungai Asap Musnah Terbakar

Gambar dan Video BBP Bintulu

BELAGA: Satu blok rumah kedai yang menempatkan premis makanan, barangan dan pejabat musnah dalam kebakaran yang berlaku di Pekan Kecil Sungai Asap, awal pagi tadi.

Jurucakap Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Asap dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.15 pagi tadi.

"Sejurus sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan blok bangunan kedai jenis tidak kekal itu," jelas beliau.


Borneo.Network diberitahu api merebak dengan pantas sekali menyebabkan ianya memusnahkan keseluruhan struktur bangunan kedai.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamaruddin Wan Ahmd mengesahkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga menerima panggilan berhubung kebakaran pada jam 5.30 pagi.


Adalah difahamkan bahawa jarak BBP Belaga dari lokasi kejadian adalah 82 kilometer.

Setakat ini kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Punca kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami pemilik premis bagaimanapun masih lagi dalam siasatan.
Next Post Previous Post