Raja Permaisuri rasmi Galeri Songket dan Keringkam Sarawak

Gambar kredit Jabatan Penerangan / Video kredit UKAS

KUCHING— Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis perasmian Galeri Songkat dan Keringkam di Jalan Masjid ini di sini, hari ini.

Seri Paduka tiba di galeri itu dengan diringi oleh isteri Premier Sarawak yang juga Penaung Projek Inovasi Warisan Songket dan Keringkam Sarawak, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang.


Raja Permaisuri meluangkan masa selama satu jam di galeri berkenaan bagi melihat sendiri hasil kerja tangan serta keunikan songket dan keringkam yang dihasilkan oleh penenun tempatan.

Pada majlis itu, Tunku Azizah bertitah supaya Sarawak menubuhkan sebuah institut bagi membolehkan anak-anak negeri ini mempelajari seni songket dan keringkam agar kraf itu tidak dilupakan.


Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan, Datuk Dr Sabariah Putit berkata Projek Inovasi Warisan Songket dan Keringkam Sarawak diterajui Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) bagi membangunkan ekosistem yang bersepadu dan lestari.

Menurut Sabariah, projek itu juga bertujuan untuk meningkatkan lagi sosioekonomi penduduk setempat selain melindungi, memelihara dan memulihara produk warisan yang bernilai ini.


Katanya, sejak tercetusnya idea kolaborasi Projek Songket Jabatan Penjara oleh Raja Permaisuri pada 2019, OKSHE telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM50,000 untuk memulakan Bengkel Tenun Sarapride Penjara Puncak Borneo.

“Baru-baru in, Memorandum Perjanjian telah ditandatangani bersama kerajaan Sarawak dan Jabatan Penjara Malaysia pada 26 Jan dan ia merupakan satu mercu tanda dalam usaha sama pembangunan industri songket di Sarawak.


Beliau berkata kerajaan negeri dengan Jabatan Penjara Malaysia melalui Projek Warisan OKSHE Penjara Puncak Borneo kini dalam proses untuk mewujudkan bengkel tenun songket baharu di kawasan seluas 2.5 ekar yang dapat memuatkan sehingga 100 rumah tenun.

Sarawak kini mempunyai seramai 120 penenun songke dan 246 orang lagi adalah penyulam keringkam.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post