Raih RM3, 400 sehari hasil jualan bubuk
Cecelia, 37, yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak berkata, bubuk yang berjaya diperoleh ahli keluarganya di laut pada awal pagi akan terus dijual kepada orang ramai yang ingin mendapatkan stok bubuk untuk membuat belacan, cencaluk atau bubuk kering.
“Hari ini misalnya, kami berjaya mendaratkan lebih 200 gantang bubuk yang dijual dengan harga antara RM15 ke RM20 segantang. Bagi yang membeli banyak, kami memberikan harga lebih murah iaitu RM10 segantang.
"Dalam masa sama, terdapat juga orang awam yang membeli bubuk secara borong sehingga 120 gantang pada satu-satu masa dan saya berasa syukur kerana lebih cepat lagi bubuk saya habis dijual," ujarnya dengan nada gembira.
"Dalam masa sama, terdapat juga orang awam yang membeli bubuk secara borong sehingga 120 gantang pada satu-satu masa dan saya berasa syukur kerana lebih cepat lagi bubuk saya habis dijual," ujarnya dengan nada gembira.
Cecelia yang 20 tahun menceburi bidang keusahawanan ini turut berkecimpung dalam tanaman kelapa sawit, menjual hasil laut, kelapa, produk makanan dan sebagainya yang boleh diniagakan demi sesuap nasi.
Pengalaman mengikuti kedua-dua ibu bapanya berniaga sejak kecil lagi turut menyebabkan beliau ingin meneruskan bidang keusahawanan ini kerana ia mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya dijalankan dengan bersungguh-sungguh.
Beliau turut menasihatkan golongan muda supaya jangan takut untuk menceburi bidang keusahawanan kerana ia mampu menjana pendapatan sekiranya diusahakan secara konsisten.
"Apa yang penting ialah keazaman dalam hati dan sudah pasti jangan takut gagal atau rugi kerana setiap perniagaan yang dijalankan memang ada risiko tersendiri," tambah beliau.