Program Jelajah Karnival Kerjaya tawar 1,100 peluang pekerjaan
Rundi semasa melawat Program Jelajah Karnival Kerjaya di sini. |
BINTULU—Hampir 1, 000 individu berkelayakan menghadiri temuduga terbuka dalam Program Jelajah Karnival Kerjaya Perkeso dan Sarawak Petchem Sdn Bhd yang berlangsung di Dewan Suarah Bintulu semalam.
Program yang turut mendapat kerjasama daripada Samsung Engineering (M) Sdn. Bhd selaku penaja, Pejabat Residen Bahagian Bintulu, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) ini secara amnya mensasarkan golongan belia khususnya lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi mendapatkan kerja yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.
Setakat jam 1.30 petang tadi, maklumat yang diperoleh Borneo Network dari jawatankuasa penganjur mengesahkan seramai 821 peserta telah mengikuti program temuduga yang dijalankan.
Dalam pada itu, sebanyak 423 individu telah mendaftar dalam MYFutureJobs dengan 42 calon telah disahkan lulus dalam temuduga yang dijalankan.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dalam sidang media yang diadakan berkata, MyFutureJobs Perkeso merupakan satu portal yang disediakan untuk setiap individu mencari pekerjaan sesuai dengan kelayakan masing-masing.
"Portal MyFutureJobs adalah percuma untuk semua pencari kerja dan majikan yang dibangunkan berdasarkan kerangka Perkhidmatan Pekerjaan Awam mengikut definisi Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Beliau berkata, berdasarkan rekod sebanyak 11,682 penempatan pekerjaan sudah berjaya dibuat selepas 676 sesi temuduga dijalankan di seluruh Sarawak pada tahun 2021.
Manakala sehingga Februari tahun ini katanya, sebanyak 507 penempatan pekerjaan dibuat susulan daripada 86 temuduga yang dijalankan.
"Justeru itu, golongan belia dan lepasan sekolah harus memanfaatkan sebaik-baiknya usaha kerajaan bagi menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan setiap pemohon khususnya golongan yang hilang sumber pendapatan akibat pandemik ini.