‘Profesor’ dalang sindiket cinta palsu ditahan

Gambar hiasan kredit Unsplash

MELAKA—Polis Melaka menumpaskan sindiket penipuan cinta (love scam) dan bungkusan (parcel scam) yang didalangi lima warganegara Nigeria dalam serbuan di dua lokasi berbeza di sini awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah berkata tiga lelaki dan dua wanita Nigeria berusia 23 hingga 44 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan di tiga pangsapuri di Bukit Beruang Bestari dan sebuah rumah di Bukit Melaka di sini sekitar jam 5 hingga 10 pagi semalam.    

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek berkenaan telah memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah dan aktif dalam sindiket love scam dan parcel scam sejak enam bulan lepas.

"Sindiket ini dipercayai didalangi seorang lelaki Nigeria berusia 44 tahun yang memperkenalkan dirinya sebagai profesor kepada penduduk di kawasan pangsapuri yang didiaminya bagi mengaburi mata mereka terhadap aktiviti yang dijalankan.

"Ketika serbuan dilakukan, sindiket berkenaan sedang menjalankan aktiviti penipuan love scam dan parcel scam menggunakan komputer riba serta telefon bimbit dan mereka tidak menyedari kehadiran polis," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata antara modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan adalah menggunakan gambar samaran lelaki berkulit putih bagi menarik minat golongan wanita untuk berbual sekali gus memperdaya mereka dengan menawarkan cinta dan bungkusan yang akan dihantar kepada mereka.

Katanya polis turut menemukan buku mengandungi skrip yang ditulis dan akan digunakan sindiket untuk memperdaya mangsa mereka selain pemacu pena, enam laptop, 12 telefon bimbit, lima modem wifi dan tujuh dokumen disyaki palsu dipercayai digunakan sindiket dalam aktiviti itu.

Razali berkata sindiket berkenaan juga disyaki terlibat dalam aktiviti penagihan dan pengedaran dadah selepas polis menjumpai satu ketul mampat dadah dipercayai ganja seberat 600 gram (g), satu paket dadah dipercayai ketamin (2.6g) dan satu paket dadah dipercayai ganja (34.73g) dalam serbuan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM5,000.

"Kami turut menemukan sebotol alat menghisap dadah dan siasatan awal turut mendapati dadah tersebut dijual kepada pelajar institusi pengajian tinggi swasta di sekitar Ayer Keroh.

"Dua wanita dan satu lelaki berusia 30-an yang ditahan turut dikesan positif dadah jenis ganja dan kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun selain sebatan dan denda.

Katanya siasatan juga akan dijalankan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post