Penganggur jadi tokan dadah ditangkap, lebih RM1.1 juta dadah dirampas


KUCHING: Tangkapan seorang lelaki di kaki lima sebuah kedai kopi di Lee Ling Height, Jalan Penrissen, Batu 6 1/2, di sini pada Sabtu lalu membawa kepada rampasan 25.59 kilogram dadah jenis Syabu dan Ketamin yang dianggarkan bernilai lebih RM1.198 juta.


Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, suspek berusia 27 tahun, merupakan seorang penganggur ditangkap sekitar jam 1.30 petang pada 26 Februari lalu oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

 

 

"Menerusi Op Khas, polis berjaya menangkap seorang lelaki di daerah Padawan pada 26 Februari lepas di mana kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 


"Dalam serbuan ini, polis berjaya merampas dadah jenis Syabu dianggarkan seberat 12,258 gram dan Ketamin 13,336 gram dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1,198,568," katanya pada sidang media di Pusat Media IPK Sarawak di sini hari ini. 



Jelas Mancha, dadah tersebut dianggarkan boleh dibekalkan untuk  26,634 orang penagih di negeri ini. 


Mengulas lanjut, katanya, kejayaan itu menerusi tiga serbuan yang dilakukan iaitu serbuan pertama di Kota Sentosa pada 26 Februari 2022 sekitar jam 1.30 petang oleh sepasukan JSJN IPK Sarawak telah menahan suspek. 


"Semasa serbuan ini, suspek didapati sedang memegang satu kotak yang berbungkus dengan plastik dengan pelekat barang mudah pecah. 


"Hasil pemeriksaan ke atas kotak tersebut mengandungi enam bungkusan plastik berwarna putih hijau, setiap satu mengandungi satu plastik yang mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu yang mana dianggarkan setiap satu bungkusan tersebut mengandungi berat kasar 6,098 gram," jelasnya. 



Tambahnya, serbuan kedua pula juga di Kota Sentosa juga hasil tindakan serbuan pertama pada tarikh sama sekitar jam 2 petang di sebuah premis di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce menemukan satu bungkusan juga tertulis barang mudah pecah. 


"Hasil pemeriksaan menjumpai enam bungkusan plastik hijau setiap bungkusan itu mengandungi plastik ketulan-ketulan kristal disyaki Syabu dengan berat kasar 6,096 gram setiap satu. 


"Serbuan ketiga pula hasil daripada serbuan kedua yang dipandu arah oleh suspek pada tarikh sama sekitar jam 3 petang di sebuah rumah di Kampung Bumbok, Jalan Batu Kitang. 


"Pemeriksaan di bilik tidur suspek menemukan satu kotak di hadapan almari yang mengandungi 13 bungkusan plastik putih dan hijau di mana setiap satu bungusan plastik itu mengandungi ketulan hablur disyaki dadah jenis Ketamin dengan berat kasar 13,776 gram," dedahnya. 


 

Selain itu, katanya, polis juga menemukan satu bekas tin mengandungi satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki Syabu dengan berat kasar 664 gram. 


Tegasnya, polis turut menyita sebuah kereta dan sebuah motosikal dalam serbuan itu. 



"Suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan direman selama tujuh hari sehingga 5 Mac ini," katanya. 


Tambahnya, suspek ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan, apabila disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan hukuman sebatan yang tidak kurang daripada lima belas sebatan.


"Siasat lanjut masih diteruskan bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah ini," ujarnya. 


Next Post Previous Post