Polis rampas ganja, syabu bernilai RM1.53 juta
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam hari ini. Kredit FB Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM |
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kedua-dua rakan sejenayah berumur 31 dan 47 tahun itu ditahan JSJN Bukit Aman sekitar 12 tengah hari di sebuah stesen minyak di sekitar Kuala Langat sebelum dipandu arah ke sebuah pangsapuri di Klang yang dijadikan stor penyimpanan dadah pada hari yang sama.
Ayob Khan berkata hasil serbuan di pangsapuri tersebut, polis menjumpai dan merampas 468.8 kg dadah dipercayai ganja serta dadah disyaki syabu kira-kira 10 kg dengan anggaran nilai RM1.53 juta.
“Sindiket yang dipercayai baru sahaja aktif bulan ini menyeludup masuk dadah tersebut melalui utara Semenanjung Malaysia-Thailand dengan menggunakan jalan darat...mereka menyasarkan dadah tersebut bagi pasaran Lembah Klang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ayob Khan berkata pihaknya mempercayai ganja yang dirampas tersebut adalah dari Laos.
“Kalau ikut trendnya, kebiasaannya pada Mac dan Oktober adalah musim menuai (ganja). Tetapi sekarang di Laos aktiviti menuai itu dijalankan sepanjang tahun, sebab itu kita lihat banyak kebelakangan ini rampasan dibuat oleh JSJN di sempadan utara negara melibatkan dadah jenis ganja,” katanya.
Ayob Khan berkata pihaknya telah mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset suspek antaranya kenderaan dan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM88,496, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1.62 juta.
Katanya, saringan awal kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC) dan seorang daripada mereka mempunyai satu rekod lampau kes jenayah.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 22 Mac bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, mengulas berhubung perkembangan tangkapan sembilan penguat kuasa menjual dadah yang dirampas, Ayob Khan berkata pihaknya sudah menyiapkan kertas siasatan berhubung kes tersebut termasuk seorang lagi suspek yang bekerja sebagai nelayan.
“Yang pasti siasatan kita sudah habis untuk 10 orang ini. Kita masih lagi menjalankan soal siasat untuk maklumat bagi mengesan saki-baki kalau ada mana-mana lagi penjawat awam yang terlibat, kita akan ambil tindakan susulan,” katanya.
-- BERNAMA