Polis Limbang perhebat operasi hapus sarang penagihan dadah
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata operasi pembanterasan dadah akan ditumpukan di kawasan jauh dan terpencil yang sukar di akses melalui jalan darat, rumah panjang selain di kawasan bandar.
“Perancangan tahun ini Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Limbang akan meningkatkan operasi-operasi terhadap sarang penagihan dadah, itu masalah utama disini,”katanya kepada Borneo Network pada Sambutan Hari Polis ke-215 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang.
Parum berkata, pihaknya juga berharap masyarakat tampil untuk menyalurkan maklumat agar dapat sama-sama memperhebatkan gerakan menghapuskan pengedaran dan penagihan dadah di Limbang.
“Masyarakat digesa memberi maklumat kepada polis agar kita bersama-sama membanteras kegiatan dadah di Limbang, terutama melibatkan kawasan jauh yang tidak dapat di akses melalui jalan darat.
“Masyarakat juga perlu terus menyalurkan maklumat kegiatan jenayah dan dadah di kawasan masing-masing," katanya.
Katanya kerjasama dan maklumag ini penting bagi membolehkan pihaknya membuat perancangan operasi.
“Ibu bapa juga perlu kerap memantau kegiatan sosial anak-anak dan rakan-rakan mereka dan menegur terutama di rumah panjang,”katanya lagi.
Parum turut memberitahu bangunan Balai Polis Pusat Limbang lama akan dijadikan sebagai tempat untuk menempatkan unit kereta peronda dibawah Bahagian Pencegahan Jenayah, Keselamatan dan Komuniti (BPJKK).
“Balai Polis Pusat Limbang akan berpindah ke bangunan IPD baharu bermula pada petang ini.
“Balai lama akan menempatkan unit kereta peronda dibawah BPJKK,”katanya lagi.