Pikap terbabas di Serian, seorang maut, seorang lagi patah tulang bahu


SERIAN—Seorang wanita maut manakala penumpang patah tulang bahu selepas kenderaan pikap yang dinaiki terlibat kemalangan di Kilometer 55, Jalan Serian-Kuching tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Ana Ekang, 50, beralamat di Kampung Biawak, Lundu.

"Kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 12.50 tengah hari melibatkan pikap yang dipandu mangsa bersama seorang penumpang lelaki, 30 tahun, dikatakan dalam perjalanan dari arah Serian menuju ke Kuching.

"Apabila sampai di lokasi kemalangan di KM 55, Jalan Serian-Kuching, Serian, pikap yang dipandu oleh mangsa telah hilang kawalan semasa melalui lorong bahagian sebelah kanan yang berselekoh," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Tambahnya, pikap tersebut telah terbabas ke bahagian kiri jalan dan melanggar besi penghadang jalan dan terhumban ke dalam parit yang berair.

"Mangsa dan penumpang tersepit dan terhimpit oleh kenderaan yang mereka naiki dan telah dikeluarkan oleh pihak Bomba," jelasnya.

Alexson memberitahu, akibat kemalangan itu penumpang yang cedera telah dibawa ke Hospital Daerah Serian.


Manakala, mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, katanya telah dibawa ke Hospital Serian menggunakan kenderaan polis.

Sementara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jelasnya telah ditahan dan disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk siasatan lanjut.

Tegasnya, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post